Menurut Haji Samsudin bin Md Noor, pengurusan bermaksud satu proses untuk mendapatkan penyertaan, kerjasama, dari semua ahli dalam mencapai matlamat pendidikan. Manakala menurut Lee Shok Mee (1993), pembelajaran bermaksud keadaan atau suasana belajar yang dapat merangsang minat belajar kanak-kanak dalam mencapai matlamat perubahan tingkah laku ke arah positif dan daripada tidak tahu kepada tahu. Pengurus alam pembelajaran dapat mengenal pasti faktor dan kepentingan persediaan alam pembelajaran serta pengaruh persekitaran alam pembelajaran. Hal ini dapat memahami hubungan antara gaya pembelajaran dengan pencapaian akademik pelajar serta mengenal pasti masalah yang seringkali dihadapi oleh guru dalam pengurusan pembelajaran di bilik darjah dan cara untuk mengatasinya.
Suasana belajar yang selesa akan dapat merangsang pembelajaran murid. Susun atur kelas akan memberikan kesan kepada murid-murid. Sebagai contoh, meja dan kerusi yang disusun mengikut kumpulan akan dapat memudahkan murid-murid untuk berinteraksi sesama mereka. Kaedah penyusunan kelas seperti ini akan dapat menarik minat murid untuk belajar kerana mereka dapat berkomunikasi dan berbincang dengan mudah.
Selain itu, guru-guru perlu memainkan peranan dalam pengurusan alam pembelajaran. Sebagai contoh, emosi seorang guru perlulah dikawal agar tidak mengganggu suasana belajar. Guru yang sedang marah semasa mengajar akan menyebabkan murid-murid tidak berasa selesa untuk belajar dan dalam masa yang sama turut akan menyebabkan perasaan murid turut terganggu. Bukan itu sahaja, guru juga perlu menggunakan ayat yang lembut dan sopan serta menegur murid dengan cara yang berhemah.
Sebagai kaedah alat bantu mengajar, guru juga boleh mengambil kaedah belajar di luar kelas. Sebagai contoh di sekolah-sekolah kini kebiasaanya terdapat taman-taman seperti English Garden. Guru boleh menggunakan kemudahan tersebut untuk menjadikan pelajar lebih berminat semasa sesi pengajaran dan pembelajaran melalui suasana yang baru.
Kesimpulannya, pengurusan alam pembelajaran ini merupakan salah satu perkara yang perlu dititiberatkan oleh semua guru agar dapat memupuk minat murid untuk belajar. Selain itu, proses pengajaran dan pembelajaran akan dapat berjalan dengan lancar sekaligus dapat meningkatkan pencapaian para pelajar.
No comments:
Post a Comment